Skuad ragbi negara jelas tidak mengulangi kesilapan yang sama ketika menentang Korea Selatan apabila berjaya menyaingi pasukan ranking ke-24 dunia, Hong Kong, 24-30, di Stadium Bolasepak Hong Kong.

Skuad Bunga Raya mempamerkan aksi memberangsangkan walaupun gagal mengekalkan tempat dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier bagi musim 2020 selepas kalah tiga perlawanan dalam saingan awal musim ini.

Bagaimanapun, Presiden Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, tetap bangga dengan semangat juang yang dipamerkan skuad kendalian bekas pemain All-Blacks, Brad Mika, itu

"Secara jujurnya, kami tidak menyangka skuad negara dapat memberikan tentangan kepada Hong Kong. Mereka sungguh bersemangat dalam perlawanan tersebut dan barisan pertahanan telah mempamerkan aksi yang luar biasa," katanya.

Tambah Shahrul Zaman, Ragbi Malaysia sedang berusaha supaya K. Dinesvaran mampu bersaing dalam aksi timbal balik menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 Jun ini.

"Visa Dinesvaran akan berakhir minggu ini dan dia perlu pulang untuk memperbaharuinya dan kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut di sini."

Pada 18 Mei lalu, Malaysia memulakan kempen ARC dengan kekalahan teruk 14-52 kepada Korea Selatan di Stadium Namdong Asiad di Incheon, Korea Selatan.

Ini diikuti kekalahan 16-38 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dua minggu kemudian.