Selepas menamatkan saingan Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2018 di tempat terakhir, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tampil mengambil tindakan drastik dengan mengurangkan tempoh latihan pusat skuad kebangsaan.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata pemain skuad 15-sebelah negara itu hanya akan mengikuti latihan pusat selama satu setengah bulan tahun ini, berbanding enam bulan tahun lalu.

Ia kerana KRM telah mengubah kalendarnya untuk kembali menganjurkan Liga Ragbi Malaysia (MRL) pada awal tahun ini bagi memberikan kejohanan kompetitif kepada pemain untuk berada dalam keadaan bersedia dan cergas untuk saingan ARC bermula dari 18 Mei hingga 29 Jun ini.

“Kami merancang untuk mengadakan MRL pada separuh kedua tahun 2018 untuk memberikan laluan kepada pemain bersedia ke ARC. Tetapi selepas bedah siasat ARC tahun lalu, kami mendapati bahawa tempoh kem latihan panjang tidak membantu.

"Jadi, kami tunda MRL 2018 ke awal tahun ini. Kami harapkan strategi ini akan memantapkan lagi pasukan untuk terus kekal dalam divisyen teratas ARC kerana Jepun (yang beraksi dalam Piala Dunia pada 2018) akan kembali ke saingan itu tahun ini.

"Jadi, pasukan tercorot akan tersingkir ke divisyen bawah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan MRL di Wisma OCM, hari ini.

Beliau berkata pemain-pemain juga lebih selesa dengan kem latihan singkat kerana komitmen kerja dan pembelajaran selain KRM yakin Malaysia mampu menewaskan Korea Selatan untuk kekal dalam divisyen itu.

Dalam ARC edisi lalu, Malaysia menamatkan saingan melibatkan tiga negara itu pada kedudukan tercorot selepas tewas kepada Hong Kong dan Korea Selatan dalam keempat-empat aksi, yang terdiri daripada dua aksi di gelanggang sendiri dan dua aksi timbal balik.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata KRM akan mencari jalan supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan pelepasan kepada kapten pasukan tujuh-sebelah kebangsaan, Zulkiflee Azmi, daripada menyertai latihan polis bagi meneruskan persiapan ke Sukan SEA di Filipina bermula November ini.

“Zulkiflee merupakan tulang belakang pasukan, pengalaman dan kepimpinannya sangat diperlukan oleh pasukan. Kami akan berbincang dengan pihak PDRM untuk mencari jalan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil, berkata saingan MRL kali ini dijangka lebih kompetitif kerana ia menjadi medan ujian dan pemilihan pemain untuk skuad kebangsaan ke ARC selain menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM45,200.

Sebanyak lapan pasukan untuk Divisyen Premier dan lapan pasukan untuk Divisyen 1 akan mencabar satu sama lain dalam MRL kali ini yang akan berlangsung dari 16 Februari hingga 24 Mac di Universiti Putra Malaysia dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).