Kapten skuad ragbi negara, K. Dineshwaran, menganggap peluang skuad negara untuk mencatat kemenangan dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC), bermula Sabtu ini, lebih cerah berbanding tahun lalu.

Ketiadaan Dineshwaran atau lebih dikenali sebagai Dugro dalam edisi terdahulu jelas dirasai skuad negara selepas tewas kepada Korea Selatan dan Hong Kong.

Bagaimanapun, Dugro kembali dalam edisi kali ini untuk mengetuai pasukan yang kini dibarisi gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda.

"Saya berasakan pasukan ini amat serasi kerana saya menggemari kehadiran pemain baru yang akan memberikan tenaga baru buat pasukan.

"Setiap pemain berusaha keras untuk beraksi dan kesemua pemain muda bekerja keras untuk menyertai senarai akhir.

"Saya berharap kami dapat memaparkan aksi terbaik," katanya.

Dalam edisi tahun lalu, Dugro diketepikan selepas terpaksa berehat selama lima bulan gara-gara patah tulang tangan ketika beraksi untuk Yamaha Jubilo dalam Liga Ragbi Utama Jepun.

Skuad ragbi negara akan berdepan tugas getir untuk mengekalkan diri dalam Divisyen Perdana dengan perlu mengelak daripada menamatkan kejohanan di kedudukan tercorot.