Atlet olahraga negara, G. Aravinn Thevarr, kembali memberi fokus kepada acara kegemarannya, 200 meter pecut, bagi merealisasikan impian beraksi buat pertama kali dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Pada awal tahun ini, Aravinn menyatakan hasrat untuk berjinak-jinak dengan acara 400 meter.

Namun, jurulatihnya, M. Balamurugan, berasakan Aravinn mempunyai prospek lebih besar untuk layak ke Sukan Asia menerusi acara kegemarannya sebelum ini, pecut 200 meter.

Dia perlu melepasi had kelayakan 21.07 saat jika berhasrat beraksi di Jakarta, Ogos nanti, namun kali terakhir dia mampu beraksi baik sebegitu adalah dua tahun lalu, dengan melakar masa 21.04 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2016.

"Saya memang fokus 200m, ia adalah acara kegemaran saya. (Tetapi) saya akan cuba 400m. Kalau mendapat catatan yang baik, saya akan berlari dalam dua acara itu. Namun, kalau tidak dapat, saya akan sertai 200m," kata Aravinn.

Aravinn juga mengesahkan dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami sejak April lalu yang menyaksikan dia terlepas beraksi dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

Namun, masa kian suntuk buat Aravinn apabila dia hanya mempunyai masa sehingga Julai bagi memastikan slot ke Sukan Asia menjadi miliknya.

"Kemudahan semuanya ada sebab ia sudah dipertingkatkan. Tetapi catatan lebih penting untuk melayakkan diri ke kejohanan yang penting. Kami perlu bekerja keras. Kalau nak capai, perlu berlatih," katanya lagi.