Kejohanan Olahraga Perak All Comers akan menjadi sebahagian daripada platform pelari pecut negara, Muhammad Aqil Yasmin, untuk memperbaiki catatan peribadinya bagi melayakkan diri ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) 2019 di Doha, Qatar.

Kejohanan akan berlangsung pada 23 Februari depan dan Aqil menganggap setiap kejohanan mempunyai cabaran, malah sudah bersedia untuk menghadapinya.

Kejohanan Olahraga Perak All Comers yang menjadi aksi sulung disertai pemuda berusia 22 tahun pada musim ini menyaksikan dia bakal menjadi pencabar sengit dalam acara 100 meter.

"Perak All Comers adalah kejohanan pertama saya dan saya berharap untuk melakukan catatan terbaik. Saingan ini akan menjadi sesi kelayakan beraksi dalam ATF di Qatar," kata Aqil.

Walaupun tidak berpeluang mengikuti latihan selama 10 bulan di Amerika Syarikat seperti Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli, ia bukan alasan untuk Aqil tidak menyerlah.

Tahun lalu, Aqil memperbaharui rekod Sukan Malaysia (Sukma) Perak dalm acara 200m dengan catatan masa 21.01 saat.