Atlet memanah compound negara, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali, percaya dia mempunyai peluang cerah untuk merebut tempat bagi mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Keyakinan Aqil itu berdasarkan persembahan yang dipamerkannya dalam siri pertama Piala Dunia di Shanghai, China, bulan lalu.

Dalam saingan individu, dia mara ke pusingan kedua sebelum kecundang kepada pemanah Colombia, Camilo Andres Cardona.

Sementara itu, bagi acara berpasukan, dia bersama-sama Mohd Juwaidi Mazuki dan Zulfadhli Ruslan menduduki tangga kesembilan keseluruhan.

Malah, berdasarkan ranking semasa, dia merupakan pemanah kedua terbaik negara di belakang Juwaidi.

"Buat masa sekarang, ranking saya dalam pasukan agak selamat, iaitu kedua. Tetapi saya tidak boleh janji dapat pergi ke Sukan Asia sebab saya masih dalam proses pemilihan.

"Saya tidak pasti masih ada pertandingan sebelum Sukan Asia, mungkin akan ada di Taiwan. Ia belum pasti lagi," kata Aqil.

Selain terbabit dalam Piala Dunia, Aqil turut bersama skuad negara dalam kejohanan pra-Sukan Asia di Jakarta pada Februari lalu, di samping memenangi pingat emas saingan individu dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).

Namun, sedikit kekecewaan buat Aqil apabila Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) membuat keputusan tidak menghantar pemanah compound bagi siri kedua Piala Dunia di Antalya, Turki pada pertengahan bulan ini berikutan faktor kos.

"Kecewa memang ada sedikit sebab compound memang tidak dihantar ke sana.

"Kami agak kurang menyertai pertandingan. Jadi, persiapan kami agak terganggu daripada segi itu," katanya lagi.