Penganjur Sukan Masters Asia Pasifik (APMG) 2018 menyasarkan penyertaan lebih 5,000 atlet menjelang saingan yang buat julung kalinya di Pulau Pinang, September depan.

APMG 2018 menampilkan kelainan dengan setiap atlet bertanding dalam kategori umur masing-masing bagi 22 jenis sukan, antaranya olahraga, renang dan badminton.

Tarikan utama sudah pasti penyertaan bekas Olimpian, Cheng Chu Sian, bagi acara memanah di samping beberapa lagi bekas atlet negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif APMG 2018, Linda Geh, setakat ini lebih 3,000 atlet dari 58 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

"Kami masih lagi menanti penyertaan dari Jepun yang bakal menampilkan barisan atlet daripada sukan olahraga dan sofbol," kata Linda.

Terdahulu, berlangsungnya majlis pengumuman tajaan pakaian rasmi FBT untuk APMG 2018 oleh Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd di Sri Damansara, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, di samping kehadiran Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.