Edisi pertama Sukan Masters Asia Pasifik 2018 (APMG 2018) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 7 hingga 15 September depan akan menghimpunkan atlet-atlet bukan elit bertanding dalam pelbagai acara sukan.

“Ia bukan mengenai atlet elit, ia adalah mengenai penyertaan dan ia terbuka kepada semua warga Malaysia tua dan muda serta yang kurang upaya,” kata Duta Kehormat APMG 2018, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, dalam satu sidang media selepas melancarkan larian obor sukan itu di Biro Pelancongan Kuala Lumpur, hari ini.

“Ia akan menjadi festival yang menarik kerana kita akan menyaksikan pelbagai bentuk sukan dan budaya seperti pencak silat dan tarian singa. Kita sudah mempunyai peserta daripada campuran pelbagai budaya,” katanya.

APMG adalah sukan pelbagai acara terbuka kepada individu berdasarkan konsep sukan bebas tanpa perlu mewakili sebarang negara atau negeri.

Peserta hanya perlu menepati umur minimum 30 tahun dan ke atas dan bertanding dalam kumpulan umur mereka serta kategori – kompetitif, rekreasi dan sosial.

Terdapat 21 acara sukan dipertandingkan, antaranya bola sepak, badminton, olahraga, renang, memanah, ping pong, skuasy dan tenis.

Larian Obor APMG 2018 bermula di Kudat, Sabah dan menjelajah ke seluruh negara sebelum berakhir di Esplanade, Pulau Pinang untuk upacara pembukaan rasmi sukan itu.

Larian obor itu yang dianjurkan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), akan meliputi jarak sejauh 3,908 kilometer selama 99 hari. -- BERNAMA