Anwarul yakin tiada masalah sesuaikan diri

Oleh Staff Writer 21 Februari 2019 1548
Anwarul yakin tiada masalah sesuaikan diri
Pemain skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Anwarul Hafiz Ahmad, percaya dia tidak mempunyai masalah untuk cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan walaupun sudah beberapa tahun tidak bersama kem kebangsaan.

Sebelum ini, Anwarul berada dalam skuad negara, khususnya ketika temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, namun pemain berusia 26 tahun itu mengambil keputusan beralih haluan ke sukan bola sepak dengan menyertai skuad UiTM FC selama tiga musim.

Bagaimanapun, kekecewaan tidak diberikan peluang untuk beraksi menyaksikan dia kembali memperkuatkan skuad ragbi tujuh sepasukan negara bagi menghadapi dua tugasan penting tahun ini, iaitu Kejohanan Trofi Asia dan Sukan SEA Filipina.

Dia berpendapat masih ada beberapa perkara yang perlu ditingkatkan dalam mencari persefahaman serta rentak permainan dalam kalangan rakan sepasukan.

"Bagi saya, tiada masalah kerana lebih separuh pemain dalam skuad ketika ini adalah kelompok yang sama sewaktu saya bersama skuad negara pada 2015. Jadi, kami sudah saling mengenali," katanya.

Sementara itu, Anwarul berpandangan kualiti yang ada dalam skuad negara ketika ini jauh lebih baik berbanding empat tahun lalu.

Bermula dengan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, skuad negara kemudian meraih kedudukan kelima dalam saingan Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

"Pada tahun 2015, kami tewas kerana kurang persiapan, hanya tiga bulan. Saya rasa sekarang kami bermula lebih awal, jadi pasukan akan jadi lebih baik. Dalam masa sama, banyak juga perkara yang baru untuk saya fahamkan. Dalam dua atau tiga minggu awal, memang sedikit sukar untuk saya sesuaikan diri."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen