Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) akan menampilkan kelainan kepada Anugerah Khas sempena Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017 dengan mengumumkan dua penerima untuk kali ini.

Selepas menilai prestasi, baik atlet kebangsaan mahu pun atlet profesional sepanjang tahun lalu, SAM menobatkan pasukan boling elit wanita dan juga pemain golf profesional, Gavin Kyle Green, sebagai penerima anugerah berkenaan bagi tahun 2017.

Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Esther Cheah membantu Malaysia meraih semula pingat emas acara berpasukan wanita selepas 10 tahun dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia, Disember lalu.

Secara keseluruhan untuk edisi kali ini, selain pingat emas acara berpasukan wanita, Shalin sekali lagi bergandingan dengan Li Jane meraih perak dalam acara beregu wanita manakala Siti Safiyah turut meraih perak dalam kategori keseluruhan wanita.

Kejayaan itu adalah yang ketiga buat pasukan boling wanita negara dan juga buat Shalin secara peribadi, selepas kali pertama memenanginya pada 2003 dan 2007.

Pada 2003 di Kuala Lumpur, kejayaan diraih bersama Sarah Yap, Wendy Chai, Sharon Chai dan Choy Poh Lai manakala kejayaan pada 2007 di Monterrey, Mexico, pula bersama-sama Esther Cheah, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Wendy Chai dan Sharon Koh.

"Bukan itu sahaja, malah aksi konsisten skuad boling tenpin wanita negara sepanjang tahun lalu, termasuk dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, turut diambil kira untuk kami memberi pengiktirafan kepada mereka," kata Naib Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah SAM 100-PLUS 2017.

Sementara itu, pemain golf profesional berusia 24 tahun, Gavin, mencipta kejayaan tersendiri selepas melengkapkan musim lalu sebagai Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017.

Dia muncul pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Order of Merit Jelajah Asia sejak Jelajah Asia ditubuhkan pada 2004.

Kejayaan itu sekali gus melonjakkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu negara.

Sepanjang musim 2017, dia meraih gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, selain tiga kali menduduki tempat kedua dalam Terbuka India, Yeangder Heritag.

Tahun lalu juga, dia meraih kejuaraan dalam Taiwan Masters dan Terbuka Shinhan Donghae di Korea Selatan.

"Jarang-jarang kita dengar berita gembira untuk negara dari lapangan golf tetapi apa yang dilakukan oleh Gavin sepanjang musim 2017 dalam Jelajah Asia sangat luar biasa dan seharusnya diberi pengiktirafan" tambah Ismadi lagi.

Majlis Anugerah SAM-100 PLUS akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada Khamis ini.

Majlis anugerah berkenaan juga terus memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori itu akan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.