Forca Amskins Racing gagal didaftarkan dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk tahun kedua berturut-turut, sekali gus memaksa pelumba seperti Anuar Manan dan Sofian Nabil Omar menyertai skuad kebangsaan.

Anuar berpeluang membuat penampilan semula di pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 jika terpilih dalam skuad kebangsaan.

Dalam usaha merebut slot enam pelumba ke saingan itu, dia akan menjalani sesi latihan pertama skuad negara Isnin depan.

Jika terpilih, ia akan menjadi penampilan semula yang cukup bermakna selepas Forca Amskins Racing bergelut dengan masalah kewangan sejak tahun lalu.

"Untuk LTdL tahun ini, saya dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan untuk menyertai kem latihan. Saya akan menyertai sesi di bawah pemantauan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

"Dalam sesi latihan itu, jurulatih akan menilai sama ada saya benar-benar bersedia atau tidak. Saya terharu walaupun lama berehat daripada kem kebangsaan. Saya rasa teruja dengan peluang ini."

Sementara itu, bagi Sofian, reputasinya selaku penyarung jersi putih dan pelumba terbaik Asia tidak memberi sebarang jaminan untuk dia turut tersenarai ke LTdL 2020.

Ketika ini, dia bersama sembilan lagi pelumba sudah menjalani latihan selama seminggu di bawah pemantauan ketua jurulatih kebangsaan, Mohd Yusoff Nasir.

Seandainya tidak terpilih, ia bermakna Sofian tidak akan mempunyai sebarang pasukan, sekali gus melenyapkan impian atlet dari Terengganu itu membuat penampilan dalam LTdL yang memasuki sambutan ulang tahun ke-25.

"Selamat belum tentu, saya tetap perlu menghadiri kem latihan dan melalui proses pemilihan jurulatih. Dia sudah memaklumkan bahawa prestasi menjadi keutamaan. Setakat ini, segalanya baik dan sebelum menyertai kem latihan, saya sempat berlatih sendiri," katanya.

Musim lalu,dia diberikan kepercayaan untuk menyarung jersi Malaysia selepas pasukan asalnya, Forca Amskins, mengalami masalah kewangan sebelum akhirnya tuah menyebelahinya apabila meraih jersi putih dalam peringkat ketiga saingan selain turut membantu pasukan negara menghuni tangga kedua pasukan terbaik Asia.




Editor: Nafis Abdullah