Skuad negara yang diketuai juara Sukan Komanwel 2018, Muhamad Aznil Bidin, menerima tamparan menjelang Kejohanan Angkat Berat Dunia 2019 apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengeluarkan arahan bahawa Malaysia tidak dapat mengambil bahagian selagi tidak membayar denda lebih RM100,000 ekoran hutang kes doping.

Hari ini sepatutnya sesi latihan terakhir skuad negara sebelum berlepas ke Pattaya, Thailand, esok.

Mereka dikejutkan dengan berita Malaysia tidak boleh menghantar penyertaan selagi tidak membayar denda ekoran kes doping, beberapa tahun lalu.

IWF mengenakan denda sebanyak RM106,000 dan memberi tempoh sebelum Selasa ini untuk membuat bayaran.

Ia tamparan hebat buat empat atlet negara yang memburu pingat sulung dalam Kejohanan Dunia itu yang turut menawarkan tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami telah berkorban selama sebulan setengah untuk menjalani latihan di Pahang untuk menghadapi Kejohanan Dunia, kami mengharapkan bantuan secepat mungkin daripada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)," kata atlet angkat berat kategori 73kg, Muhammad Ery Hidayat, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Turut menyuarakan pandangan, Aznil, yang bertanding dalam kategori 61kg: "Kami harap menteri boleh bantu untuk kami layak dalam Sukan Olimpik sebab sukan angkat berat berpeluang dengan adanya bantuan dan sokongan yang kuat."

"Kami hanya diberitahu mengenai perkara ini pada saat-saat akhir," kata Yusoff Nandong yang bertanding dalam kategori 67kg.

Malaysia menyandarkan harapan kepada Aznil setelah mempamerkan aksi baik sepanjang kem latihan pusat di Kuala Rompin, Pahang, sejak Julai lalu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, akan berusaha untuk memastikan skuad negara dapat menyertai Kejohanan Dunia.

Walaupun hutang tersebut berlaku di bawah pentadbiran pegawai terdahulu, namun apa yang penting ialah atlet dapat meneruskan usaha memburu tiket ke temasya Tokyo 2020.

Malah, jika isu berkenaan tidak diselesaikan, skuad angkat berat negara berdepan risiko tidak dapat menyertai kejohanan antarabangsa lain, termasuk Sukan SEA Filipina 2020.

"Sejak saya mengambil alih (jawatan presiden) dalam tempoh setahun lebih ini, kes-kes doping sudah menurun, tetapi kami membawa sekali beban masa lalu.

"Kami tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak, (sebaliknya) cuba mencari penyelesaiannya," katanya ketika dihubungi.