Lulus ujian doping menjadi pembakar semangat buat skuad angkat berat negara yang diketuai Muhammad Aznil Bidin untuk memburu pingat Kejohanan Angkat Berat Dunia di Pattaya, Thailand, hujung bulan ini -- sekali gus boleh mencabar peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad Kejohanan Dunia kembali ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dengan semangat juang tinggi selepas kesemuanya lulus ujian doping.

Mereka baru sahaja menamatkan program latihan selama hampir dua bulan di Kuala Rompin, Pahang.

Aznil diletakkan sebagai sandaran utama untuk meraih pingat selepas mempamerkan peningkatan di Kuala Rompin untuk berpeluang layak ke temasya Tokyo 2020.

"Ini merupakan kejohanan yang penting kerana masih tiada atlet negara yang berjaya meraih pingat dalam Kejohanan Dunia.

"Ini juga peluang untuk kami melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya di Bukit Jalil, hari ini.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), kelmarin mengumumkan kelima-lima atlet yang diuji itu bebas bahan terlarang.

Ia membuktikan bahawa usaha keras PABM berhasil, sekali gus menuntut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyenaraikan angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor, tahun depan.

"Sukan angkat berat perlu dipertandingkan dalam Sukma.

"Ia adalah pentas atlet-atlet muda untuk menonjolkan bakat selain setiap negeri yang membentuk atlet acara ini."