Pemain bola jaring kebangsaan, An Najwa Azizan, mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama untuk beraksi dalam Liga Bola Jaring Australia.

An Najwa bakal mewakili pasukan GSW Fury yang beraksi dalam divisyen dua Liga Australia dengan kontrak semusim sehingga September depan.

Dia menjadi pilihan selepas kelab itu mendapat saranan daripada bekas penasihat jurulatih kebangsaan, Stacey Robinson, yang membimbing skuad negara tahun lalu.

Menurut Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaakob, penyertaan An Najwa dalam Liga Australia diharap dapat membantu membuka lebih banyak peluang buat pemain-pemain negara yang lain untuk bermain di luar ke negara.

"Ini merupakan satu sejarah kerana buat pertama kalinya, pemain bola jaring kebangsaan akan beraksi di luar negara.

"Dia akan cuba mencapai tahap tertinggi bermain dalam liga utama Australia.

"Saya percaya satu langkah ini membuka peluang kepada kelab-kelab di Australia untuk mula melihat pemain-pemain Malaysia," ujar Suraya ketika ditemui sempena mesyuarat jawatankuasa kerja membabitkan PBJM dan Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Dalam masa sama, An Najwa percaya pembabitannya dalam saingan Liga Australia dapat meningkatkan lagi tahap permainannya dalam usaha memikat kelab-kelab utama yang beraksi secara profesional.

"Ini pengalaman hebat buat saya.

"Sungguhpun hanya akan beraksi bersama kelab amatur, adalah menjadi impian saya untuk beraksi di Australia sebab seperti yang kita ketahui, Australia berada di ranking tertinggi dunia dalam kancah bola jaring," katanya.

Ketika ini, 28 pemain berada dalam kem latihan skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan jemputan yang sedang dirancang oleh PBJM bagi menguji kemampuan mereka Julai nanti.

Ketika ini, 28 pemain berada dalam kem latihan skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan jemputan yang sedang dirancang oleh PBJM bagi menguji kemampuan mereka Julai nanti.

Kejohanan Asia di Singapura September nanti menjadi tumpuan utama dan PBJM ingin memastikan satu pasukan mantap dapat membawa cabaran Malaysia nanti.

Malah, PBJM juga menyasarkan untuk melayakkan diri ke Kehjohanan Dunia di Liverpool, England, tahun hadapan.

"Kami akan turun mempertahankan kejuaraan. Itu kelayakan Kejohanan Dunia Liverpool 2019," kata Suraya.

Suraya juga menjelaskan kedudukan penasihat jurulatih kebangsaan yang baru akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi dengan tidak menolak kepakaran luar negara menjadi antara keutamaan.

Sebelum ini, Robinson membantu skuad negara namun kontraknya tamat sejurus Sukan SEA 2017 berakhir.

"Kami telah berbincang dengan barisan jurulatih. MSN sudah meluluskan untuk kami membawa masuk kepakaran luar negara.

"Kami akan memuktamadkannya nanti," tambah Suraya.