Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng, mahu meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Gimnastik Berirama Asia yang akan membuka gelanggang di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, esok.

Kejohanan empat hari itu melibatkan edisi ke-10 Kejohanan Gimnastik Berirama Asia Senior dan Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja ke-16.

Gimnas berusia 23 tahun itu melakar kecemerlangan ketika beraksi dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia baru-baru ini, dengan membawa pulang secara individu satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

"Itu suatu pencapaian amat bermakna. Saya akan jadikannya pendorong untuk terus memberi persembahan terbaik dalam kejohanan ini.

"Ia akan menjadi medan untuk mengetahui kedudukan saya dalam persiapan menghadapi Sukan Asia nanti," katanya.

Kejohanan Gimnastik Berirama Asia itu melibatkan saingan kategori individu, berkumpulan mengikut ranking, kategori 'all-around' dan empat aparatus.

Selain Malaysia, edisi kali ini melibatkan penyertaan 18 negara lain, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Uzbekistan, Kazakhstan, Mongolia, Krygyztan, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Qatar, Iran, Lubnan dan Korea Utara.

Kejohanan peringkat remaja akan menjadi medan kelayakan ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina pada Oktober depan.

-- BERNAMA