Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berjanji akan membantu Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mencari gelanggang baru andai perbincangan dengan pihak pemaju menemui jalan buntu.

Pilihan itu ditawarkan Amirudin setelah pertemuan sebelum ini antara kerajaan negeri dan pihak pemaju tidak memberikan petanda positif.

Pihak pemaju enggan berganjak dan tetap mahu mengambil alih tanah yang menempatkan gelanggang ikonik, Kinrara Oval, untuk tujuan pembangunan.

"Ia menjadi kekangan andai pemilik tanah tidak besetuju. Saya perlu berbincang dengan MCA untuk mencari venue lain dan kerajaan negeri sedia memberi kerjasama untuk menyedia dan mewartakan kawasan yang lebih murah dan tidak membebankan mereka," jelas Amirudin.

MCA pada Selasa lalu mendedahkan sudah menerima notis pengosongan Kinrara Oval yang akan berkuatkuasa 31 Oktober ini.

Ia menjejaskan persiapan barisan pemain negara yang sedang memburu tiket ke Piala Dunia Kriket T20 di Australia pada 2020.

"Andai MCA dapat mengenal pasti tapak yang lebih sesuai di Selangor, kami sedia bekerjasama.

"Ini kerana kemajuan kriket di peringkat nasional turut berkaitan dengan perkembangan sukan kriket di negeri Selangor," tambah Amirudin.