Jurulatih skuad lontar peluru para negara, Mohamad Faizol Harun, berpandangan Mohamad Alif Mohamad Alwi mampu meneruskan kesinambungan kegemilangan Ziyad Zolkefli dalam acara itu.

Acara lontar peluru para lebih sinonim dengan Ziyad selepas dia meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 selain turut menjadi pemegang rekod dunia klasifikasi T20 dengan catatan 17.29 meter.

Bagaimanapun, tumpuan juga perlu diberikan kepada Alif yang dilihat berpeluang cerah untuk meneruskan kegemilangan yang diraih Ziyad itu.

Dalam Sukan Para Asia Indonesia tahun lalu, Alif meraih pingat pingat perak dengan lontaran sejauh 13.09 meter.

"Dia baru dua tahun menyertai skuad kebangsaan dan masih muda.

"Dia juga akan ke Jerman sebagai pelapis kepada Ziyad dan saya berharap dia akan dapat melakukan sesuatu dalam Kejohanan Dunia nanti," kata Faizol.

Tumpuan utama Ziyad dan Alif tahun ini menjurus kepada Kejohanan Olahraga Para Dunia (IPC) di Dubai, November depan.

Kedua-dua atlet itu sudahpun melepasi had kelayakan, namun Alif perlu memperbaiki catatan peribadinya andai mahu mengintai peluang untuk berada dalam kedudukan lima terbaik dunia.

Mereka akan ke Jerman hujung bulan ini bagi menyertai kem latihan selama lima minggu sebagai program persiapan sebelum ke Kejohanan IPC.

"Sasaran kami dalam Kejohanan Dunia nanti adalah untuk mempersiapkan atlet dalam kategori T1, T2 dan T3.

"Atlet T1 akan menyertai sesi latihan di Jerman.

"Selepas itu, kami akan memilih beberapa kejohanan di dalam dan luar negara untuk disertai mereka," tambah Faizol.