Selain program ditetapkan oleh barisan jurulatih, pemain ping pong negara, Alice Chang, berhasrat mendapatkan khidmat nasihat bekas pemain negara, Ng Sock Khim, bagi memantapkan lagi persiapannya ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Oktober nanti.

Sock Khim bersara daripada arena ping pong negara setelah tamat Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Dia yang pernah memenangi perak dalam Sukan Komanwel Glasgow serta pelbagai gelaran antarabangsa pernah menjadi rakan sepasukan Alice sejak pemain muda ini menyertai skuad senior pada 2016.

Justeru, Alice mengharapkan tunjuk ajar Sock Khim untuk membantu menghadapi temasya sukan terbesar dalam kariernya itu sebagai pemain ping pong.

"Sock Khim banyak memberikan nasihat kepada saya sebelum menghadapi kejohanan," kata Alice.

Alice layak ke Sukan Olimpik Remaja Argentina selepas berjaya memenangi Road to Buneos Aires zon Oceania, bulan lalu.

Selain Alice, rakan sepasukan, Choong Javen, turut terlebih dahulu menempat slot ke Argentina dan mereka berdua juga akan turut bergandingan dalam acara berpasukan campuran.

"Dengan kelayakan ini, saya berharap dapat memberikan yang terbaik di Buenos Aires bagi meningkatkan sukan ping pong."