Jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, menyambut baik keputusan atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krishanan, untuk berlatih di Amsterdam, Belanda selama tiga bulan sambil menegaskan faktor disiplin perlu menjadi keutamaan.

Ali Reza enggan lagi memanjangkan isu berkenaan Syakilla yang tidak hadir ke sesi latihan selama tiga minggu dan menghormati keputusannya untuk berlatih di Belanda bermula bulan depan.

Jurulatih dari Iran itu hanya ingin fokus kepad atlet sedia ada dan bersedia untuk membantu Syakilla andai satu masa dia memerlukan pertolongannya.

"Saya mengucapkan semoga maju jaya kepada Syakilla yang berlatih di Belanda. Dia bukan lagi urusan saya. Saya hanya memberikan tumpuan kepada atlet yang kekal berlatih di Malaysia," katanya.

Ali Reza kini hanya menanti keputusan daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) untuk menghantar atlet lain, termasuk S. Prem Kumar ke Austria seperti yang dicadangkan.

"Kami telah membincangkan mengenai keperluan berlatih di luar negara tetapi kami masih lagi perlu menelitinya kerana memiliki skuad yang besar."