Jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, enggan dikaitkan dengan Syakilla Salni Jefry Krishnan buat masa ini tatkala atlet karate itu bakal mendapatkan program latihan sendiri di Amsterdam, Belanda selama tiga bulan, bermula bulan depan.

Ini bermakna dia tidak akan mendapat tunjuk ajar Ali Reza dalam masa terdekat selepas mencetuskan sensasi tidak hadir mengikuti sesi latihan selama tiga minggu atas alasan tidak dapat menyesuaikan diri di bawah bimbingan jurulatih baru itu selain komitmen pelajaran.

Namun, Ali Reza berharap isu ini tidak lagi berlarutan memandangkan Syakilla bakal menjalani program yang diperlukannya di Belanda.

Andai memerlukan pertolongan, Ali Reza bersikap terbuka untuk menghulurkan bantuan dan berharap dia diberikan ruang untuk fokus kepada atlet sedia ada dan mengharapkan hasil yang terbaik daripada Syakilla yang dalam misi mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syakilla tidak mengikuti latihan hari ini kerana diberi pelepasan untuk mengikuti sesi pelajarannya sebelum berlepas ke Amsterdam.

Ikuti perkembangan selanjutnya dalam Nadi Arena.