Al-Jufferi waspada ancaman pesilat Korea Selatan

Oleh Staff Writer 15 Mei 2018 896
Al-Jufferi waspada ancaman pesilat Korea Selatan
Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, berwaspada terhadap kemunculan negara-negara yang baru mengikuti ilmu persilatan dengan menganggap mereka sebagai ancaman dalam Sukan Asia di Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan. 

Selain Malaysia, tuan rumah, Indonesia, dan Vietnam dilihat sebagai antara pilihan untuk memburu pingat bagi sukan tersebut.

Begitupun, Al-Jufferi berkata kemunculan beberapa negara seperti Korea Selatan, Iran serta Kyrgyzstan dilihat mampu memberi saingan kepada pesilat handalan dunia.

Malah, dia sendiri melihat peningkatan mendadak yang dipamerkan mereka amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang mudah.

"Kalau baru berlatih dalam silat ini, mustahil untuk dapatkan dua pingat perak dan tiga gangsa. Biasanya, tiada pingat.

"Tetapi Korea Selatan agak fokus dan semangatnya -- lain berbanding Indonesia -- sama seperti Iran dan Kyrgyzstan," ujarnya.

Dalam pada itu, skuad silat negara kembali ke tanah air buat sementara waktu selepas mengambil bahagian dalam Kejohanan Silat Terbuka Belgium, awal bulan ini.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada penilaian buat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk menentukan senarai akhir pesilat negara untuk ke Sukan Asia.

Jufferi antara yang cemerlang selepas meraih kejuaraan kategori Putera Kelas E dengan menewaskan pencabar dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra.

Kemenangan itu menebus kehampaannya tumpas kepada lawan yang sama ketika pra-Sukan Asia di Jakarta, Februari lalu.

"Kalau sudah kalah memang agak kecewa tetapi kita boleh tingkatkan lagi semangat. Untuk saya, saya terima kekalahan itu dan semakin bersemangat untuk mengalahkan peserta sama dalam pertandingan seterusnya," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen