Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, tidak sabar untuk bertemu pencabar utamanya dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam Kejohanan Silat Asia yang akan diadakan buat julung kalinya di China, Disember depan.

Jufferi tewas di tangan Komang dalam aksi final kelas E Putra, Sukan Asia tahun lalu, lantas mahu menebus kehampaannya jika bertemu lawan yang sama di China nanti.

Walaupun baru pulih daripada kecederaan otot sejak awal tahun ini, pesilat dari Pahang itu tidak mahu persiapannya terjejas setelah terlepas banyak kejohanan tahun ini.

Malah, dia sudah dalam perancangan menjalani sesi latihan di Korea Selatan bermula 20 Disember depan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana.

"Untuk saya akan ada kerana saya belum hadapi kesan sebegitu. Jadi, diharapkan saya dapat sesuaikan diri dengan cuaca yang agak mengerikan. Kami mahu mempersiapkan diri untuk mengelakkan diri daripada masalah hidung berdarah atau demam," katanya.

Sementara itu, pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, turut dalam persiapan ke Kejohanan Asia dengan tidak memandang mudah saingan daripada mana-mana pencabar.

"Memang gelisah apabila memikirkan sasaran mempertahankan emas. Namun, insya-Allah jika latihan dilakukan dengan sebaik-baiknya, segalanya mampu diraih," katanya.