Aksi di Jepun persediaan terbaik ke Sukan Asia

Oleh Staff Writer 9 Julai 2018 262
Aksi di Jepun persediaan terbaik ke Sukan Asia
Peluang untuk menyertai Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens di Jepun, awal bulan depan, memberi kesempatan terbaik buat skuad ragbi tujuh sepasukan negara untuk melihat kemampuan beberapa pencabar utama di pentas Sukan Asia Indonesia.

Kejohanan Jemputan Sapporo Sevens menjadi medan ujian terakhir buat ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Mohd Nor, dalam menentukan 12 nama pemain yang akan menggalas cabaran negara di Indonesia nanti.

Ketika ini, seramai 18 pemain berada dalam senarai pendek, dengan berteraskan kepada tonggak yang memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selain itu, dua pertandingan tempatan juga akan disertai skuad negara, iaitu Perlis Sevens dan Kuching Sevens.

"Kini, Jepun menjemput Malaysia, Filipina, Chinese Taipei dan Sri Lanka. Jika dilihat senarai itu, semua pasukan yang turut serta akan bersaing dalam Sukan Asia 2018, jadi persiapan kami dijalankan dengan baik," ujarnya.

Dalam masa sama, Saizul turut melihat peningkatan pasukan Sri Lanka sebagai ancaman utama dalam misi menjadi antara empat pasukan terbaik dalam edisi Sukan Asia kali ini, sekali gus memperbaiki kedudukan kesembilan di Incheon (2014) dan kelima di Guangzhou (2010).

"Apa yang dilakukan oleh Sri Lanka akan cuba disaingi oleh kami. 

"Kami menyasarkan sesuatu yang besar supaya ia tidak hanya dilakukan untuk menduduki tempat kelima atau keempat," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen