Atlet para negara, Ridzuan Puzi, mencetuskan sensasi menerusi pencapaian luar biasanya tahun lalu.

Berada dalam lima finalis Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018, Ridzuan dicanang sebagai atlet terbaik tahunan pilihan Nadi Arena kali ini.

Dia muncul atlet pertama negara yang dinobatkan selaku Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 dalam majlis khas yang akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5 Februari ini.

Kejayaan itu akan mengukuhkan kedudukan Ridzuan selaku atlet paling berjaya di Malaysia selepas mencipta gemilang dalam acara lompat jauh dan pecut sepanjang musim lalu.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu turut cemerlang dalam Sukan Para Asia di Indonesia, Oktober tahun lalu.

Dia mencipta sejarah menerusi rekod dunia dalam acara 100 meter lelaki F36 selain melakar rekod Sukan Asia dalam acara lompat jauh.

Dalam temasya itu juga, Ridzuan memenangi emas acara 400m untuk merangkul tiga pingat emas secara keseluruhan.

Juga terdapat calon lain, iaitu Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Rafiq Ismail (boling tenpin), Goh Jin Wei (badminton) dan Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan).

Ayuh, mulakan proses pemilihan anda dengan cara klik di sini.