"Tahun lalu bukanlah tahun yang mudah buat saya," kata juara dunia terjun negara, Cheong Jun Hoong.

"Pengiktirafan ini boleh jadi pembakar semangat kepada saya untuk berlatih bersungguh-sungguh dan saya berharap ia akan menyuntik semangat kepada pasukan (terjun)," kata pemenang sulung Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2017 itu.

Atlet terjun dari Batu Gajah, Perak itu menerima pengiktirafan tersebut dalam siaran langsung Nadi@1 di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, hari ini, selepas menjadi pilihan pengundi yang terdiri daripada persatuan sukan kebangsaan, pengamal media serta undian di atas talian daripada peminat sukan Malaysia.

Jun Hoong, 27, mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas acara 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, tahun lalu.

Jun Hoong meraih undian sebanyak 42.9 peratus, meninggalkan jauh pemenang tempat kedua, iaitu atlet berbasikal trek kebangsaan yang juga juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang, yang meraih 32.5 peratus sementara ratu bowling negara, Shalin Zulkifli, menduduki tempat ketiga dengan jumlah undian 10.2 peratus.

Dua lagi atlet kebangsaan yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan lima terbaik adalah pelari pecut dan juga pemenang acara 100 meter Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, serta jaguh lontar peluru para, Muhammad Ziyad Zolkefli.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan dan keluarga yang memberi banyak sokongan, termasuk rakan sepasukan serta jurulatih," katanya lagi.