Atlet terjun wanita negara, Cheong Jun Hoong, mencipta satu lagi sejarah peribadi apabila dinobatkan selaku pemenang sulung Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) ketika siaran langsung Nadi@1 di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Ternyata kejayaan memecahkan dominasi China ketika meraih pingat emas acara 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary tahun lalu menjadi titik pemisah buat atlet berusia 27 tahun itu untuk menarik perhatian pengundi yang terdiri daripada persatuan sukan kebangsaan, pengamal media serta undian di atas talian daripada peminat sukan Malaysia.

"Saya berasa amat bangga dan gembira kerana memenangi anugerah ini walaupun sedar berdepan saingan sengit daripada atlet-atlet lain.

"Untuk tahun 2018, saya berharap dapat terus mencipta kejayaan bersama seluruh skuad terjun negara," kata Jun Hoong.

Jun Hoong meraih undian sebanyak 42.9 peratus, meninggalkan jauh pemenang tempat kedua, iaitu atlet berbasikal trek kebangsaan yang juga juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang, yang meraih 32.5 peratus sementara ratu bowling negara, Shalin Zulkifli, menduduki tempat ketiga dengan jumlah undian 10.2 peratus.

Dua lagi atlet kebangsaan yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan lima terbaik adalah pelari pecut dan juga pemenang acara 100 meter Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, serta jaguh lontar peluru para, Muhammad Ziyad Zolkefli.

"Saya amat terharu dan gembira dengan sokongan yang diterima dalam menganjurkan anugerah ini dan ia memberikan satu petanda baik untuk kita terus menghargai sumbangan atlet-atlet kebangsaan.

"Sebagai pemenang pertama AJNA, Jun Hoong layak menerima anugerah ini kerana dia telah berjaya memecahkan dominasi penerjun China sewaktu di Hungary pada tahun lalu," ujar Pengarang Urusan Majalah dan Berita Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd Isa, yang menyampaikan trofi kepada Jun Hoong.