Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) mencipta sejarah baru dalam bidang itu apabila memperkenalkan Anugerah Untuk Asia dalam kongres ke-21 di Arab Saudi, semalam.

Anugerah Untuk Asia bakal menjadi pentas terbaik untuk mengenal pasti serta meraikan setiap usaha daripada atlet-atlet Asia di peringkat tertinggi.

Keputusan untuk memperkenalkan anugerah tahunan itu adalah hasil perbincangan wakil delegasi daripada beberapa negara ketika penghujung kongres. Ia menjadi penamat terbaik bagi acara yang dianjurkan oleh Persekutuan Media Sukan Arab Saudi (SSMF) itu.

Edisi pertama Anugerah Untuk Asia dijangka bakal diadakan pada suku pertama 2019, dengan Malaysia diberi hak selaku penganjur sulung.

Ia merangkumi beberapa kategori seperti Atlet Terbaik Tahunan, Pasukan Asia Terbaik serta beberapa anugerah lain, termasuk sumbangan dalam bidang kewartawanan sukan di benua itu.

Presiden AIPS Asia, Sattam Al-Saheli, mengalu-alukan kewujudan anugerah itu dan menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan status badan itu selaku pemegang taruh industri sukan di Asia.

"Anugerah itu memberi makna besar kepada sumbangan setiap individu sukan, terutama daripada barisan wartawan yang hadir dengan laporan serta dokumen mengenai atlet-atlet," katanya.

Sattam turut mengumumkan bahawa Naib Presiden AIPS Asia, Ahmad Khawari Isa, akan memegang jawatan selaku pengerusi Jawatankuasa Anugerah dan bakal memantau perkembangan program tersebut.

AIPS Asia turut memperkenalkan barisan legenda sukan Asia ke dalam Dewan Kemasyhuran yang baru dicipta, untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada program Anugerah Untuk Asia bagi memastikan pencapaian hebat bekas atlet Asia diiktiraf.