Dua peninju negara, Aiman Abu Bakar dan Theena Thayalan, tidak sabar menggegar Axiata Arena pada Ahad ini selepas masing-masing berpeluang beraksi dalam perlawanan sokongan sempena Fight of Champions di antara Manny Pacquiao dan Lucas Mathysse.

Siapa sangka Aiman, bekas pemain bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan kini bergelar peninju profesional.

Berkelana ke Filipina sejak 2015, dia mendapat jemputan khas daripada peninju legenda, Manny Pacquiao, yang turut menjadi penganjur perlawanan berkenaan.

Bakal menentang Abdi dari Indonesia dalam pertarungan empat pusingan featherweight, Aiman mengharapkan sokongan padu daripada seluruh peminat tempatan.

"Untuk perlawanan ini, saya dihubungi penganjur dan dijemput untuk berbincang dengan Manny Pacquiao di pejabatnya.

"Pacquiao memberi restu kepada saya dan mahu saya bertarung di depan penyokong sendiri.

"Saya sudah empat tahun berkelana di luar negara dan oleh itu, dia ingin saya membuat penampilan sulung di tempat sendiri," kata Aiman.

Sementara itu, Theena yang merupakan peninju muda berusia 20 tahun, juga tidak sabar mempamerkan kebolehannya apabila bertemu peninju berpengalaman, Siddharth Varma, dalam enam pusingan kategori welterweight.

"Saya pernah berlatih di luar negara dan pentas ini bukan masalah.

"Apapun, suasana pasti berbeza dan sukar kerana saya akan beraksi di depan penyokong sendiri," kata Theena.