Penentuan ke Sukan Asia Indonesia Ogos ini sengit membabitkan pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman, dalam usaha menempatkan diri bersaing dengan rakan sepasukan, Low Wee Wern dan Rachel Arnold.

Hanya empat pemain wanita negara bakal ke sana di mana ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, sudah pasti tidak ketinggalan untuk beraksi.

S. Sivasangari mungkin sudah berada dalam zon selesa untuk mengesahkan tempat berdasarkan prestasi semasa tetapi Aifa dilihat perlu menyaingi dua rakan sepasukan, iaitu Rachel dan Wee Wern.

Bukan mudah tetapi usaha berganda harus dilakukan menjelang saingan Terbuka Malaysia, Julai depan, yang bakal menjadi penilaian untuk mereka.

"Kita ada Nicol, Wee Wern, Sivasangari, Rachel dan saya. Kita akan lihat siapa yang dapat dan sudah tentu Nicol, Wee Wern dan Sivasangari sudah ada tempatnya dalam Sukan Asia.

"Saya rasa akan ada pemilihan dan saya perlu menang pemilihan itu," kata Aifa.

Juara Terbuka Remaja British 2018 itu sememangnya mengharungi jadual padat tahun ini apabila dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November depan dan perlu bijak melakukan persiapan bagi kejohanan dan pelajaran.

"Tahun ini memang sibuk berbanding tahun lalu. Tahun lalu tiada tekanan seperti tahun ini kerana saya ada SPM.

"Saya perlu fokus kedua-duanya, belajar dan skuasy. Bila ada masa, saya menghabiskan masa dengan pelajaran dan bila pulang dari kejohanan, saya akan cari cikgu. Saya ketinggalan pelajaran akibat tidak hadir ke sekolah," katanya lagi.