Ahmad akan pertahan jawatan presiden PSM

Oleh Staff Writer 7 Jun 2018 2279
Ahmad akan pertahan jawatan presiden PSM
Datuk Seri Ahmad Ismail akan mempertahankan jawatan presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan sedia dicabar oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran, dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 24 Jun ini.

Ahmad sudah menyatakan kesediaan untuk terus mempertahankan jawatan tertinggi PSM bagi penggal 2018-2021.

Keputusan itu diambil selepas Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, dan Datuk Mohd Sumali selaku Ketua Seranta PSM masih belum bersedia untuk menyandang tugas sebagai presiden

Untuk itu, Ahmad enggan kerusi nombor satu itu dipegang oleh individu yang dilihat masih belum mencapai tahap yang sepatutnya dan menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pengurusan PSM terus terjaga di bawah pimpinannya.

"Ramai orang menghubungi saya memberitahu saya jangan lepaskan (jawatan). Itu yang memberikan saya semangat dan saya akan terus berada dalam PSM. 

"Tetapi, Insya-Allah, saya bukan mahu berada di sana sampai bila-bila. Tidak. Saya pun rindu untuk kembali bersama keluarga. 

"Tetapi tak apalah, saya akan korbankan untuk penggal ini sedikit lagi. Saya akan terus bantu. Insya-Allah, kita akan berjaya," ujarnya.  

Selama 16 tahun bersama PSM, Ahmad percaya pembangunan sukan sepak takraw tidak lagi berada di takuk lama dan tidak sepatutnya timbul anasir negatif dalam mempersoalkan kredibilitinya menjalankan tugas selaku presiden.

"Mungkin selepas mesyuarat agung ini, kami akan buat pindaan perlembagaan, di mana untuk membolehkan sedikit campur tangan PSM terhadap persatuan negeri. 

"Sekarang ini, saya tidak boleh masuk bagi membantu pembangunan di peringkat negeri," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen