Fokus atlet seni bela diri campuran (MMA), Agilan Thani, yang bakal berdepan Zebaztian Kadestam dari Sweden dalam saingan One Championship, Jumaat depan, hanya satu, iaitu untuk merampas semula kejuaraan kategori welterweight selepas tewas kepada Ben Askren, tahun lalu.

Agilan bangkit daripada kekalahan sebelum ini apabila menang dalam dua aksi terakhir berdepan Sherif Mohamed dari Mesir dan atlet India, Amitesh Chaubey.

Ketiadaan Askren selaku juara bertahan yang telah mengumumkan persaraan, dijangka membuka ruang buat atlet muda berusia 22 tahun itu menjadi calon utama bagi memburu mahkota kejuaraan.

"Sasaran saya adalah memenangi setiap pertarungan. Kadestam adalah lawan yang baik, dia merupakan bekas juara dunia dalam muay thai.

"Saya hanya mahu mempamerkan aksi terbaik berdepannya," ujar Agilan.

Dalam masa sama, seorang lagi atlet negara yang akan melakukan penampilan dalam kategori featherweight, Keanu Subba, mengakui dia belum mengetahui sejauh mana kemampuan lawannya, Xie Chao dari China.

"Dia pernah beraksi dalam pusingan ketiga One Championship dan menang. Jadi, saya akan cuba mengenal pasti strategi yang perlu digunakan," kata Subba.