Pemain boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, sudah menyimpan gemilang Sukan Asia 2018 sebagai kenangan manis dan kini mula mengorak langkah menuju misi menawan Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Afifah menamatkan kempen Sukan Asia 2018 di Palembang dengan pungutan satu emas menerusi trio wanita dan satu perak hasil saingan enam sepasukan.

Bagaimanapun, dia terkilan tidak berupaya menterjemahkan ranking nombor satu all around kepada satu pingat dalam acara masters.

Bagaimanapun, rehat selama dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk dia menghadapi baki saingan 2018 menjelang kempen penting tahun depan.

"Saya baru kembali menjalani latihan semalam dan sememangnya sentiasa bersiap sedia.

"Corak latihan saya dikekalkan, tiada kurang mahupun lebih.

"Cuma, saya memberi lebih fokus dan belajar bagaimana untuk lebih konsisten supaya saya dapat mengekalkan momentum di Las Vegas nanti," katanya.

Afifah juga berkongsi pandangan terhadap bagaimana perubahan format unik dalam Sukan Asia berupaya membantunya dalam memperbaiki permainan di peringkat antarabangsa.

Ini kerana sebilangan besar saingan utama dunia masih menggunakan format tradisional berbanding format Sukan Asia 2018 yang memberi kelebihan besar kepada pakar balingan strike.

"Minggu depan, kami akan ke Bangkok untuk bersaing dengan pemain boling profesional dalam siri Jelajah Dunia.

"Kami dah biasa bersaing dengan mereka.

"Saya yakin untuk mara ke final, cuma saya perlu lebih fokus untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lorong.

"Jika dapat melakukannya, Insya-Allah saya mampu menaiki podium," katanya.