Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) petang ini bagi membincangkan hala tuju kes doping seorang atlet negara yang meraih pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kelmarin, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan seorang atlet kebangsaan yang juga pemenang pingat gagal ujian doping ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April lalu.

Justeru, pengarahnya, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, merancang untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan PABM di Bukit Jalil.

"Semalam, ramai pihak yang menghubungi ADAMAS kerana ingin mendapatkan maklumat. Apapun, saya ingin pertahankan bahawa ADAMAS mempunyai tatacara dan prosedur (untuk mendedahkan hal ini).

"Keinginan untuk mengetahui siapakah atlet dan sukan berkenaan, semuanya akan terjawab apabila langkah pertama dijalankan," katanya.

Menurut Dr Ramlan lagi, ADAMAS tidak akan sewenang-wenangnya mendedahkan atlet terbabit, sebaliknya pengumuman rasmi hanya akan dibuat menerusi badan induk sukan berkenaan.

"Pelbagai andaian telah dibuat. Hanya kerana ADAMAS yang menjalankan ujian doping ini, maka ADAMAS (dianggap) boleh membuat pengumuman, ia andaian yang tidak betul.

"Mana-mana ujian yang dijalankan, keputusannya akan diserahkan kepada orang yang diuji. Tetapi, kalau ada mana-mana pihak mengandaikan bahawa persatuan kebangsaan tidak dimaklumkan, itu tidak benar.

"Kalau mana-mana atlet didapati positif, kami akan menghormati persatuan kebangsaan kerana mereka mempunyai kehormatan dan maruah untuk membuat penilaian dari sudut tanggungjawab dan peranan.

"Bagaimanapun, pihak yang berada dalam masyarakat sukan mempunyai peranan masing-masing agar atlet kita bebas daripada gelaja doping," katanya lagi.