ADAMAS sahkan 18 sampel negatif

Oleh Staff Writer 28 Jun 2018 147
ADAMAS sahkan 18 sampel negatif
Skuad angkat berat negara boleh menarik nafas lega apabila Penolong Pengarah, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, mengesahkan semua 18 sampel yang diuji pada bulan lalu menghasilkan keputusan negatif.

ADAMAS menguji 18 atlet angkat berat negara selepas skandal penggunaan bahan terlarang secara berleluasa oleh atlet remaja kebangsaan.

Bagaimanapun, skuad negara yang diketuai juara Sukan Komanwel, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar, serta Aznil Bidin boleh menarik nafas lega apabila hasil ujian didapati negatif selepas ADAMAS mendapat keputusan daripada makmal ujian doping di New Delhi, India.

“Walaupun mereka telah mengambil masa setahun daripada kejohanan, pihak ADAMAS tetap akan menjalankan ujian, termasuk untuk atlet-atlet yang akan beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA), di mana mereka akan diuji sebelum saingan bermula di Perak,” ujar Nishel.

Pada bulan lalu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggantung skuad negara daripada menyertai kejohanan antarabangsa dan berlatih di luar negara selama setahun selepas atlet kendalian mereka mencatat empat kes doping setakat tahun ini.

Sementara itu, ADAMAS merancang menguji lebih separuh daripada 447 atlet negara yang akan menyertai Sukan Asia 2018, Ogos depan.

“Untuk saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, kami menjalankan ujian terhadap 120 sampel dan untuk Sukan Asia, kami akan memeriksa 200 hingga 300 sampel memandangkan ia melibatkan atlet yang lebih ramai.”
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen