Satu kekecewaan buat pelumba berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, apabila terkandas di peringkat suku akhir saingan pecut individu wanita dalam aksi Kejohanan berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Selepas meraih pingat gangsa dalam acara 200 meter ujian masa, Fatehah berada di tahap terbaik bagi memburu pingat dalam dua lagi acara, iaitu pecut dan juga keirin.

Saingan pecut yang berlangsung petang tadi menyaksikan Fatehah dijangka dapat memburu salah satu slot ke final jika catatan yang dilakukannya pada pusingan awal menjadi ukuran.

Bagaimanapun, sedikit kesilapan yang dilakukan menyaksikannya diatasi pelumba dari China, Guo Yufang, yang merekodkan 11.582 saat, sekaligus meletakkan Fatehah ketinggalan 0.47s.

“Saya kecewa kerana saya mampu memenanginya. Saya tersilap membiarkan lawan memotong menerusi laluan bawah di selekoh pertama dan ia tidak dapat diperbaiki kerana dia sudah jauh ke depan,” kata Fatehah.

“Pada kali ini, saya hampir memecahkan catatan masa peribadi ketika di Paris pada 2014. Saya berada di prestasi yang baik, cuma melakukan sedikit kesilapan.

“Saya tidak boleh menyalahkan diri sendiri semata-mata atas kesilapan itu kerana masih berpeluang menerusi acara keirin. Saya harap dapat fokus untuk dapatkan pingat untuk negara,” tambahnya.

Di sebalik kekecewaan itu, Fatehah kekal dengan semangat tinggi untuk memastikan dia menamatkan cabaran dalam Kejohanan ACC kali ini dengan kilauan pingat bagi acara keirin.

Namun, dia menyedari misi itu bukan mudah jika melihat kepada barisan pelumba yang mengambil bahagian dalam saingan kali ini dengan ada dalam kalangan mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

Sementara itu, jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley, tetap berpuas hati di atas persembahan anak buahnya walaupun Fatehah dan seorang lagi sandaran utama, Mohd Azizulhasni Awang, sekadar meraih gangsa bagi acara ujian masa 200m dan keirin sambil meletakkan keutamaan kepada acara yang lebih utama tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan keputusan atlet-atlet dalam kejohanan kali ini. Atlet-atlet tidak menempuhi fasa akhir (tappering) untuk saingan ACC kerana kami memberikan tumpuan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia," kata Beasley.