Skuad berbasikal trek para negara memperoleh emas berganda menerusi Muhammad Afiq Afify Rizan dan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Afiq bersama jurumudinya, Muhammad Khairul Adha Rasol, menjadi pilihan berikutan hanya dua negara yang mengambil bahagian dalam acara 200m pecut.

Berdepan rakan sepasukan, Aiman Ashraf Ahmad Bajuri dan Mohd Faizal Mohamed Noh, dalam final, Afiq dan Adha tidak berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan dalam dua perlumbaan, iaitu dengan kepantasan 10m 659s dan 10m 833s.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Para Dunia di Los Angeles tahun lalu itu nyata berada dalam kelas tersendiri untuk bergelar juara selain memperbaiki catatan peribadi mereka.

Gangsa dimenangi wakil Singapura, Wee Leong Tee dan Kee Meng Ang.

"Saya cuba perbaiki catatan masa pecut saya. Kalau melihat kepada keputusan semasa, saya sudah capai ranking pertama atau kedua.

"Ia memberi keyakinan kepada saya untuk pergi ke Sukan Komanwel pada April nanti," kata Afiq.

Sementara itu, Nur Azlia juga tidak berdepan masalah untuk menguasai saingan wanita apabila bergelar juara bersama jurumudinya, Noraidillina Adilla J Sam.

Gandingan emas Sukan Para ASEAN 2017 itu membuktikan reputasi mereka apabila menewaskan Nur Syahida Tajudin dan Nurul Suhada Zainal dalam final dengan catatan 12m 409s dan 12m 305s.

Bagi Noraidillina, walaupun hanya disertai dua negara, ia tetap memberikannya lebih keyakinan untuk meneruskan persaingan di peringkat lebih tinggi dengan Sukan Para Asia di Indonesia, Ogos nanti, menjadi antara matlamat utama.

Gangsa menjadi milik Singapura menerusi gandingan Seok Bee Emily Lee dan Sarah Tan.

"Saya sedang buat persiapan untuk Sukan Para Asia di Jakarta pada Oktober nanti. Jadi, ini adalah permulaan yang baik untuk kami berdua kerana kami sasarkan untuk memecahkan rekod peribadi.

"Ada lagi dua acara untuk disertai esok dan kami harap dapat melakukan yang terbaik," kata Noraidillina.