Tempat keempat yang diraih pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom, dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 menyaksikannya sekali lagi kempunan untuk meraih pingat dalam acara berkenaan.

Saingan di Velodrom Nasional, Nilai itu memberikan peluang terbaik buat Shah Firdaus memburu podium bagi acara keirin walaupun menyedari tumpuan lebih terarah kepada juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang.

Kedua-dua pelumba itu mara ke final dengan persaingan hebat diberikan empat lagi pelumba, antaranya Tomoyuki Kawabata dari Jepun yang menamatkan saingan selaku juara.

Sedikit kesilapan di penghujung perlumbaan menyaksikan Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sekaligus sekali lagi kecewa tidak dapat meraih pingat bagi acara itu.

"Saya akui telah melakukan kesilapan tetapi tidak mengapa jika melakukan kesalahan ketika di sini. Kami berdepan dua lagi kejohanan besar dan diharapkan dapat menampilkan aksi terbaik di sana," katanya.

Bagaimanapun, Shah Firdaus masih mempunyai satu lagi acara, iaitu pecut, esok dan walaupun acara itu akan turut disertai Azizulhasni yang juga merupakan juara bertahan, dia tetap yakin dirinya mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan.

Satu persembahan baik pastinya diharapkannya sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Belanda, minggu depan.

"Saya mahu melalui aksi kelayakan terlebih dahulu dan melihat catatan masa, kemudian mencongak keadaan dalam pusingan pertama. Saya akan cuba yang terbaik."