Jika semalam, dua pingat emas terhasil dalam kategori tandem 200 meter pecut, kisah serupa berlaku petang tadi bagi saingan ujian masa Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai.

Bahagian lelaki yang membabitkan jarak empat kilometer menyaksikan gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Mohd Nur Riduan Zainal mengatasi tentangan rakan senegara, Afiq Afify Rizan dan Khairul Adha Rasol.

Nur Riduan dan Hazwan mempamerkan kayuhan yang cukup konsisten untuk memperoleh emas menerusi catatan 4 minit 41.212 saat, dibezakan 1.023s berbanding Afiq dan Adha sementara gangsa dimenangi satu lagi gandingan negara, Aiman Asyraff Ahmad Bajuri dan Mohd Faizal Mohamed Noh.

“Saya melakukan kayuhan 100 peratus bersama Hazwan walaupun kami merupakan rakan sepasukan. Kami ingin menjaga catatan masa untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Riduan.

Sementara itu, bahagian wanita menyaksikan gandingan Nur Azlia Syafinaz dan Noraidillina Adilla meraih emas dengan merekodkan masa terpantas 3:55.076s bagi jarak 3 km.

Catatan itu nyata jauh mengatasi pencabar mereka yang juga rakan senegara, Nur Syahida Tajudin dan Nurul Suhada Zainal, yang ketinggalan 12 saat di belakang dan melengkapkan kedudukan podium ialah wakil Singapura, Emily Lee Seok Bee dan Sarah Tan, dengan catatan 4:9.415s.

“Saya berasa gementar dan takut kerana hari ini dapat memecahkan catatan kami tetapi tetap bersyukur. Untuk saingan esok, saya harap dapat memecahkan rekod peribadi sekali lagi,” ujar Azlia.

Bagaimanapun, Amar Danial Masri gagal meneruskan rentak kemenangan skuad negara apabila meraih pingat perak dalam acara ujian masa 1km kategori remaja selepas melakukan catatan masa masa 1:03.735s.

Emas milik wakil dari Thailand, Wachirawit Saenkhamwong manakala gangsa milik Victor Golov dari Kazakhstan.

Dalam acara senior, Muhammad Fadhil Mohd Zonis terlepas kedudukan podium dalam acara ujian masa 1km. Fadhil melakukan catatan masa 1:02.507s untuk menghuni tangga keempat.