Malaysia terus mencipta lebih banyak kejayaan selepas lima lagi pingat emas berjaya diraih menerusi skuad berbasikal trek para dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin meraih kemenangan dalam acara ujian masa 1 kilometer C1-C3 dengan catatan masa 1 minit 11.555 saat, meninggalkan Shota Kawamoto dari Jepun (1:12.804s) di tempat kedua. Seorang lagi wakil Malaysia, Shukor Farhan Suliman (1:15.378s), memastikan pingat gangsa.

Bagi acara 1km C4-C5, Zuhairi Ahmad Tarmizi melakukan catatan masa terpantas 1:07.973s untuk meraih emas bagi mengetepikan wakil Iran, Mehdi Mohammadi, yang berpuas hati dengan pingat perak (1:10.595s). Gangsa milik Malaysia menerusi Mohd Najib Turano (1:10.867s).

"Saingan sangat hebat tetapi saya hanya memberikan tumpuan kepada persembahan saya kerana ia merupakan peluang saya untuk meraih jersi juara peringkat Asia," kata Yusof.

"Saya bersyukur di atas kemenangan ini, kejayaan untuk meraih pingat emas dan memecahkan rekod bagi acara ini.

"Ia merupakan sasaran jurulatih yang diberikan kepada saya. Saya berharap mahu mengulangi persembahan ini ketika beraksi dalam Kejohanan Basikal Trek Dunia di Brazil nanti," kata Zuhari.

Dalam acara berpasukan, Malaysia meraih lagi tiga emas menerusi acara ujian masa 1km lelaki dan wanita serta pecut berpasukan.