Pelumba wanita negara, Jupha Somnet, melakar sejarah peribadi apabila meraih pingat emas pertama dalam kariernya di pentas Asia selepas cemerlang mengungguli acara perlumbaan mata wanita elit dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Jupha kembali beraksi dalam saingan ACC selepas tidak menyertainya tahun lalu kerana mengikuti kursus menjadi anggota polis.

Ternyata, kemunculan semulanya meberikan pulangan lumayan apabila dia berjaya menamatkan badi kekalahan dalam empat kejohanan ACC sebelum ini.

Jupha meraih 35 mata untuk menduduki tempat pertama, menewaskan pelumba Hong Kong, Xiaojuan Diao, yang memungut 25 mata di tempat kedua dan Ke Xin Zeng dari Taiwan, ketiga dengan 21 mata.

"Di sini, saya berjuang untuk pergi ke Piala Dunia semula sebab tahun lalu saya langsung tidak menyertai ACC. Ia kerana saya menjalani kursus polis selama enam bulan. Tahun ini saya bermula semula," kata Jupha.

Kejayaan ini sudah pasti mengukuhkan lagi peluangnya untuk mewakili negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Difahamkan, sebelum ini tiga pelumba wanita negara layak secara merit ke temasya itu, iaitu Fatehah Mustapa, Farina Shawati Adnan dan Anis Amira Rosidi.

"Selepas ACC ini, saya akan fokus berlatih seperti biasa. Mungkin saya akan menyertai kem latihan di Chiang Mai, Thailand. Di sana, saya akan perbaiki apa yang belum cukup," katanya lagi.