Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa, menduduki tempat ketiga acara 500m ujian masa untuk memperoleh pingat gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, sebentar tadi.

Fatehah mencatat masa 34.632s, hampir menyamai rekod kebangsaan yang dilakukannya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, iaitu 34.542s.

Dalam saingan kelayakan sebelum itu, pelumba kelahiran Terengganu berkenaan menduduki tempat keempat dengan catatan 34.974s, bagaimanapun, berjaya meraih podium dalam perlumbaan akhir.

Keputusan itu menambahkan lagi keyakinan Fatehah untuk memburu dua lagi pingat acara yang disertainya, iaitu pecut dan keirin.

"Catatan saya lagi pantas dalam Sukan SEA tetapi saya berasa syukur kerana boleh kayuh lagi laju berbanding pusingan kelayakan tadi.

"Saya rasa sangat bersyukur memenangi pingat gangsa, yalah kedudukan awal tadi saya berada di tempat keempat dan sekarang nombor tiga," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba dari Hong Kong, Lee Wai Sze, dengan 33.395s, diikuti pelumba dari China, Song Chaorui, yang mencatat 34.114s untuk perak.