Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang, menamatkan kemarau pingat dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) Ke-39 selepas meraih pingat emas dalam acara pecut individu di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, semalam.

Pelumba kelahiran Terengganu itu meraih pingat emas kelima dalam kerjayanya selepas memenangi emas dalam acara berkenaan dalam edisi 2008, 2009, 2014 dan 2017.

Dalam aksi final, Azizulhasni, yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’, menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan cabaran pelumba China, Xu Chao, dalam perlumbaan ketiga dengan catatan masa 10.154 saat (s) manakala Xu ketinggalan 0.004s.

Untuk rekod, Xu memenangi perlumbaan pertama dengan catatan 10.307s, sebelum Azizulhasni meraih kemenangan dalam perlumbaan kedua dengan catatan 10.270s.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih pingat perak dalam acara keirin sebelum ini, menambah koleksi pungutan pingat apabila menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe, dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah memenangi perlumbaan pertama dan kedua, masing-masing dengan catatan 10.380s dan 10.449s..

-- BERNAMA