Westports Malaysia Dragons gagal menebus kekecewaan apabila tewas 94-91 kepada pendahulu, Mono Vampire, sekali gus menerima kekalahan ketiga musim ini dalam pertarungan sengit Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) di Thailand sebentar tadi.

Pertemuan di antara dua pasukan teratas liga itu menyaksikan Malaysia Dragons bertindak pantas dalam mencari mata awal bagi membina keyakinan sebelum berhasil menamatkan suku pertama dengan mendahului 29-20.

Suku kedua menyaksikan Mono Vampire kembali menyusun permainan dan dengan pantas mengejar lawan untuk mengikat kedudukan 30-30 tatkala mereka menggunakan ketinggian pemain sebagai kelebihan untuk melakukan lebih banyak jaringan tiga mata serta berjaya menambah 22 mata berbanding Malaysia Dragons hanya 12 mata.

Perlawanan bersambung dengan giliran Mono Vampire memimpin kedudukan 42-41, di mana jurang mata yang kecil menjadikan persaingan semakin sengit dalam suku ketiga, namun pergerakan kemas Michael Anthony Singletary dan rakan-rakan terus memastikan Mono Vampire menjarakkan mata 65-57.

Skrip sama berulang dalam suku terakhir apabila tentangan sengit yang cuba dihadirkan Malaysia Dragons masih mampu ditangani lawan yang akhirnya menamatkan saingan 94-91, sekali gus menyaksikan wakil kebangsaan itu gagal menebus kekalahan kepada lawan sama November lalu.



Editor: Nafis Abdullah