Kemenangan selesa dalam pertemuan di Singapura Jumaat lalu membolehkan KL Dragons berupaya menjulang kejuaraan Piala Straits walaupun tewas tipis 87-88 di tangan Singapore Slingers dalam aksi timbal balik di Stadium MABA, petang tadi.

Perebutan piala yang juga sebahagian daripada saingan Liga Bola Keranjang Asean (ABL) itu menyaksikan Dragons menang aksi pertama 79-68 dan prestasi mantap itu diteruskan apabila mendahului 21-18 dalam suku pertama.

Namun, pendahuluan itu mudah diatasi Slingers menerusi kecemerlangan Antonio McClain yang membolehkan pasukannya mendahului 38-35.

Dragons kendalian anak buah Jamie Pearlman kemudiannya menggunakan masa rehat untuk bangkit dalam suku ketiga 62-58 tetapi gagal mengelakkan kedudukan terikat 76-76 masa penuh sekali gus memaksa pemenang ditentukan dalam tambahan lima minit.

Seperti dijangka, McClain menjadi pemusnah apabila menyambut lontaran penalti yang dimuntahkan rakan sepasukan untuk tambahan dua mata ketika 2 saat terakhir permainan yang menyaksikan Dragons akur tewas 87-88.

Namun, anak buah Pearlman tetap muncul juara Piala Straits menerusi kelebihan jumlah jaringan hasil kedua-dua pertemuan.


Editor: Nafis Abdullah