Selepas terus mempamerkan peningkatan dengan meraih tempat kedua dalam Kejohanan Masters Amerika Syarikat, ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong, menyasarkan kedudukan podium dalam Kejohanan Remaja Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Madrid, Ogos depan.

Aaliyah merupakan satu-satunya peluncur Asia yang mengambil bahagian selepas berjaya meraih tempat kedua dalam Kejohanan Masters AS dalam acara tricks kategori B-17 tahun, 27 Mei lalu.

Pencapaian itu paling cemerlang dalam karier Aaliyah selepas dua kali gagal berada dalam kedudukan podium pada 2016 dan 2017.

Prestasi itu dilihat datang tepat pada masanya ketika hanya dua bulan sahaja lagi, Aaliyah bakal beraksi di Madrid, Sepanyol dengan berdepan jaguh remaja dunia.

"Sasaran adalah untuk menduduki podium di Madrid untuk acara tricks dan keseluruhan," kata Aaliyah.

"Terdapat peningkatan dalam persembahan saya yang mampu dijadikan taruhan untuk meraih kejayaan di sana nanti."

Ibu Aaliyah yang juga bertindak sebagai jurulatihnya, Norzeela Sulaiman, bangga dengan perkembangan Aaliyah yang tampak semakin matang tiap kali beraksi di pentas tertinggi.

Bukan sahaja dalam acara tricks, Aaliyah turut mempamerkan peningkatan bagi disiplin jump apabila memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri, 34.9 meter, dalam salah satu kejohanan di Florida.

"Dalam kejohanan tahun pertama dan kedua perasaan gugup dan gementar menjadi penghalang dan kali ini Aaliyah lebih bersedia dan berjaya meraih tempat kedua," kata Norzeela.