Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menjelaskan bahawa pintu ke pasukan kebangsaan itu sentiasa terbuka untuk semua pemain yang mempamerkan aksi yang baik.

Bagaimanapun, katanya, pemain harus menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti faktor umur, mampu menyerapkan cara permainan skuad itu, mempunyai bakat individu dan teknik permainan yang baik.

Selepas beberapa tonggak seperti Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban, Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad mengalami kecederaan, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain lain sekiranya perlu.

"Buat masa ini, kami nak melihat perkembangan positif daripada Nor Azam kerana dia telah mempamerkan aksi yang baik dalam dua perlawanan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

"Namun, harus diingat bahawa kami tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja. Yang penting, sesiapa yang diturunkan dalam perlawanan nanti harus menunjukkan prestasi yang baik," katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata sebagai jurulatih, dia turut mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan bakat muda selain membimbing pemain sedia ada demi masa depan pasukan kebangsaan.

Walaupun mengejar keputusan positif dalam kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dia mempunyai falsafah untuk memberikan peluang kepada pemain muda dalam pasukan itu.

"Ia penting kerana mereka (pemain muda) merupakan masa depan. Mereka mempunyai tenaga untuk bermain manakala pemain senior mempunyai pengalaman bermain, jadi ia satu cabaran untuk saya sebagai jurulatih membuat pilihan pemain.

"Memang betul pemain skuad B-19, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal, menonjol tetapi kami masih memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting (kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2020) pada November ini. Mungkin tahun depan baru kami akan beri peluang kepada mereka," katanya.

Namun, bekas pengendali Kedah itu meminta pemain muda untuk terus bekerja keras kerana masa depan mereka tidak terjamin dengan bakat sahaja.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum bertemu Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi dalam aksi Kumpulan G kempen kelayakan tersebut.

Sementara itu, penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi, bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam kedua-dua aksi berkenaan jika diberi peluang.

"Saya tidak dapat menjaringkan gol ketika diturunkan dalam kesebelasan utama dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFF kerana agak gugup tapi kali ini berlainan. Walaupun kualiti permainan Vietnam dah meningkat, tak mustahil bagi kami untuk mengatasi mereka," katanya.

-- BERNAMA