Ketua Pegawai Eksekutif Golden Fivers Global, Rabiatul Adawiyyah Izzaddin, menyasarkan seramai 8,000 peserta daripada kelab rasmi Manchester United (Red Army Malaysia) dan Liverpool (All Reds Malaysia) menyertai Ultimate Reds Battle Fun Run 2019 malam ini.

Ketegangan di antara peminat kedua-dua kelab bola sepak itu menjadi objektif utama larian tersebut dianjurkan bagi mengeratkan hubungan baik sesama mereka selain daripada mewujudkan program yang bersesuaian buat keluarga.

Rabiatul berharap larian yang pertama kali diadakan itu mendapat sokongan penduduk, terutama di Lembah Klang, supaya rakyat Malaysia terus mendapat pendedahan dalam sukan gaya hidup aktif seperti itu.

Sebanyak empat kategori larian ditawarkan, iaitu 3 kilometer, 5 km,10 km serta Virtual Run yang dibuka kepada peserta.

"Untuk program pertama ini, sasaran minimum kami terhadap penyertaan adalah seramai 8,000 orang. Berbekalkan kerjsama Sinar Harian, insya-Allah kami mampu bergerak lebih jauh. Kami cuba elakkan pergaduhan antara penyokong dua kelab ini," kata Rabiatul.

Sementara itu, Editor Sukan Sinar Harian, Izahar Atan, mengakui konsep larian yang dijelmakan menarik minat akhbar itu untuk menjadi rakan media bagi menjayakan program tersebut.

"Perkara ini berbeza kerana seluruh dunia tahu bahawa United dan Liverpool tidak boleh bersama. Mereka merupakan seteru utama sejak sekian lama. Ia membuatkan pihak Sinar Harian ingin bekerjasama dengan penganjur," ujar Izahar.