Seramai 270 pelari mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan Larian Kembara Alam Semula Jadi Kokol yang bakal betlangsung pada 24 September depan.

Larian edisi ketiga itu bakal mempertandingkan empat kategori iaitu masing-masing larian sejauh 17 kilometer (km) bagi kategori terbuka lelaki dan wanita (umur 18 hingga 35 tahun) serta larian sejauh 15km bagi ketagori veteran lelaki dan wanita (umur 40 ke atas).

Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Casero Events dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam itu turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM9,000.

Pengarah Urusan Casero Events, Steve Johnny Mositun ketika dihubungi berkata, beliau berpuas hati dengan jumlah penyertaan pada edisi kali ini walaupun sedikit kurang daripada sasaran sebenar.

"Jumlah ini sudah cukup baik kerana kita juga mengambil kira faktor ekonomi serta jumlah acara larian yang begitu banyak dianjurkan Sabah," katanya.

Beliau berkata, sejak larian berkenaan dianjurkan pada 2014, objektif utama ialah bagi mempromosikan kawasan Kokol sebagai salah satu tempat pelancongan di Kota Kinabalu di samping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung di situ.

"Pada tahun ini, kita sangat gembira kerana Unit PPM Inanam sudi bekerjasama dengan kami dan kita harapkan penganjuran kali ini akan memberi impak lebih besar kepada Kokol untuk terus menjadi destinasi pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Sementara itu, Steve turut berterima kasi kepada semua penaja yang sudi bekerjasama termasuk pemilik kedai sukan Ararat Sports & Souvenir Sdn Bhd, Ben Wong dengan jenama Carino bakal dijadikan pakaian rasmi pada kejohanan kali ini.