Dua pelumba negara, Jazeman Jaafar dan Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri demi mencipta sejarah penglibatan kali pertama tiga pelumba negara, termasuk Weiron Tan, dalam Perlumbaan Endurance 24 Jam Le Mans di Perancis pada 16-17 Jun ini.

Trio Jackie Chan DC Racing X Jota itu bakal beraksi dalam pusingan kedua Le Mans bagi Kejohanan Dunia Endurance Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga dalam pusingan pertama di Spa Francorchamps, Belgium, Mei lalu.

Demi meneruskan kesinambungan itu, Jazeman dan Nabil terpaksa melupakan sambutan raya kali ini memandangkan tarikh perlumbaan mereka jatuh tepat pada tarikh sambutan Aidilfitri.

"Saya dan Nabil malangnya tidak boleh berpuasa kerana perlumbaan 24 Jam Lee Mans memerlukan kekuatan, ketahanan dan keperluan diet pemakanan," kata Jazeman.

Ketiga-tiga pelumba itu akan berlepas ke Perancis hari ini bagi meneruskan persediaan lebih awal sebelum bermulanya tarikh perlumbaan nanti.

"Kami bersedia. Kami bersedia untuk menyahut cabaran terbesar dalam kerjaya kami. Ia adalah kejohanan terbesar dunia. Kami begitu bangga dapat mengambil bahagian dalam kejohanan itu," kata Weiron.

Tegas seorang lagi wakil negara, Nabil, penyertaan mereka bukan sekadar memenuhi saingan tetapi bertekad mahu menamatkan perlumbaan di pentas podium.

"Sasaran kami masih sama, kami mahu melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara. Ia pengalaman yang baik untuk kami kerana dapat berada dalam Le Mans," kata Nabil.