Lebih 200 pemain telah mengesahkan penyertaan menjelang Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Borneo CMS (BJO 2017) Ke-3 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching dari 7 hingga 11 Julai depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Dr Ong Kong Swee, berkata kejohanan peringkat umur itu akan turut disertai oleh pemain dari 11 negara selain Malaysia.

"Ia termasuk peserta dari Australia, Mesir, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Filipina, Sri Lanka, Pakistan dan Singapura," katanya.

Pemain-pemain muda Malaysia yang mewakili Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Melaka, Negeri
Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak juga akan menyertai kejohanan yang menampilkan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) sebagai penaja utama kejohanan yang disalurkan menerusi dana Program Pembangunan Bakat Skuasy Remaja Sarawak.

"Sejak tujuh tahun lalu, syarikat ini secara konsisten telah menyumbang lebih RM200,000 untuk pembangunan sukan skuasy di negeri ini.

"Kejohanan ini juga berusaha menggalakkan bakat-bakat muda skuasy tempatan meraih pengalaman berharga melalui acara kompetitif selain menjadi landasan untuk pihak berkaitan mengenal pasti atlet yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Antara nama besar sukan skuasy kelahiran Sarawak termasuk Mohd Azlan Iskandar, Sanjay Singh dan Michelle Wong.